Thursday, May 29, 2014

PELABELAN NEGARA ASAL (COOL)

Pernahkah anda tertanya dari negara mana asalnya telefon bimbit, komputer, kereta, baju ataupun alat permainan yang anda beli? Adakah negara asal sesuatu produk faktor penting untuk memutuskan pilihan produk yang anda beli? Adakah dengan mengetahui negara asal sesuatu produk, kita dapat mengurangkan risiko keselamatan?


Apakah sentimen pengguna sekarang terutamanya dengan masalah keselamatan makanan yang berleluasa, terutamanya makanan yang diimport dari negara China?



Apakah Itu COOL?



COOL atau pelabelan negara asal ( Country of Origin Labeling ) adalah pendekatan pelabelan untuk produk makanan segar seperti daging, sayur-sayuran dan buah-buahan. Akibat pelbagai skandal keselamatan makanan baru-baru ini di seluruh dunia, pengguna ingin mengetahui negara asal / negara pembuat produk yang mereka beli. Contohnya, pengguna ingin tahu sama ada alat permainan kanak-kanak dan susu serta produk tenusu datang atau dibuat di negara China. Begitu juga daging lembu dari Amerika Syarikat atau ikan tuna datangnya dari perairan Mexico atau cili 'jalapeno' dari Mexico juga.



Mengapa COOL menjadi penting?


COOL adalah hasil desakan pengguna dan juga agensi kerajaan ke atas industri, berikutan daripada pelbagai kes yang berkaitan dengan keselamatan produk dari negara-negara tertentu. Ini khususnya bagi kes-kes keracunan makanan, keselamatan alat-alat permainan, pencemaran melamina ke atas makanan haiwan kesayangan dan susu bayi, semuanya dari negara China.

Perkataan 'buatan negara China' menyebabkan pengguna was-was tentang status keselamatan produk tersebut. Skandal susu-susu bayi baru-baru ini telah mencetuskan desakan daripada pengguna agar semua produk seperti hasil tenusu, buah-buahan, sayur-sayuran dan daging serta ikan dilabelkan dengan maklumat negara asal produk tersebut.

Oleh kerana daging lembu yang diimport dari Amerika Syarikat ke Korea dicemari oleh pembawa penyakit lembu gila, pengguna Korea sekarang membuat tuntutan keras agar daging import dilabel dengan maklumat negara asal. Sebelum ini berlaku beberapa demonsrasi oleh warganegara di Korea agar daging lembu dari Amerika Syarikat dikenakan sekatan import sama sekali.

Label maklumat negara asal sesuatu produk juga boleh membantu pihak penguatkuasa mengenal pasti produkpproduk yang harus dijalankan ujian atau dikenakan sekatan demi menjaga keselamatan pengguna. 

COOL membantu pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat yang betul. Ia adalah salah satu hak universal pengguna. Label maklumat negara asal pada produk makanan segar sekurang-kurangnya banyak membantu semasa aktiviti penarikan balik dan sekatan jualan sesuatu produk di pasaran. Ia juga membantu pelbagai pihak di dalam rantaian makanan global dalam menjamin bekalan serta keselamatan makanan.