LABEL ALAM SEKITAR

1.  EKO-LABEL MENYUMBANG KE ARAH PENINGKATAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT DI MALAYSIA

Pengenalan
Keadaan alam sekitar yang tidak menentu sekarang ini dan di tambah pula dengan kejadian malapetaka seperti hujan ribut dan banjir yang melanda beberapa negara di seluruh dunia telah meningkatkan kesedaran kepada pengeluar dan pengguna akan keperluan untuk pengeluaran yang lebih mampan dan penggunaan produk yang tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Eko-label adalah beberapa inisiatif yang boleh dipertimbangkan  oleh pengguna, industri dan kerajaan untuk membawa kemampanan yang lebih berkesan dalam aktiviti manusia. Ini bermakna produk-produk yang memenuhi keperluan alam sekitar, disamping proses pengeluaran mereka yang mesra alam, akan disahkan dan dilabelkan dengan simbol khas. Matlamat eko-label adalah untuk memberi maklumat kepada pengguna  mengenai kesan alam sekitar daripada produk yang mereka gunakan. Pada masa yang sama, pelabelan eko bertujuan untuk menawarkan insentif pasaran kepada pengeluar tempatan dan asing yang mencapai piawaian alam sekitar. Eko-label meliputi banyak kategori produk yang terdiri daripada bahan pencuci berasaskan kimia sehinggalah kepada bahan pencuci  berasaskan sumber semula jadi.

Apa Itu Eko-Label?
Eko-Label adalah amalan menandakan produk dengan label atau simbol yang tersendiri untuk memudahkan pengguna mengenalpasti produk (barangan atau servis) yang mematuhi piawaian alam sekitar yang diiktiraf. Label ini akan membolehkan pengguna untuk mengenal pasti dan memilih produk dan perkhidmatan berdasarkan kepada faktor-faktor alam sekitar dan membantu pengguna membuat pembelian dengan lebih bertanggungjawab, yang seterusnya dapat mengurangkan pelepasan karbon.

Latar Belakang Eko-Label di Malaysia
Pada Jun 1972 Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengadakan satu persidangan mengenai Manusia dan Alam Sekitar (Human Environment Conference) di Stockholm. Persidangan ini bertujuan untuk mengambil kira keperluan pandangan dan prinsip bagi memberi inspirasi dan petunjuk kepada orang ramai di dunia dalam pemeliharaan dan peningkatan kualiti manusia dan alam sekitar. Namun masalah alam sekitar kelihatan semakin meruncing hingga ke hari ini dan sentiasa menjadi isu global yang hangat dibualkan. Negara-negara maju kini semakin menitikberatkan keadaan alam sekitar di seluruh dunia menyebabkan negara-negara sedang membangun  juga terpanggil  untuk meningkatkan usaha dalam menjaga, memelihara, dan meningkatkan kualiti alam sekitar di negara masing-masing.

Eko-label merupakan salah satu daripada banyak program yang telah dijalankan bagi mencapai objektif alam sekitar untuk kelangsungan generasi yang akan datang. Pada tahun 1996, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) melancarkan program kebangsaan pelabelan eko untuk mengesahkan produk yang memenuhi kriteria alam sekitar seperti pinggan mangkuk daripada biomass, ejen pembersihan mesra alam, baja organik, kertas kitar semula, balast elektronik jimat tenaga dan sebagainya. Sehingga kini terdapat 37 kriteria produk yang boleh diuji di bawah program EkoLabel SIRIM.
Pada Ogos 2010, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Sektor Teknologi Hijau) dengan usahasama SIRIM Berhad sebagai perunding bersamasama Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Program Perintis Perolehan Hijau dan Pelabelan Eko. bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan produk hijau.

Untuk meningkatkan inisiatif pelabelan secara sukarela, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melancarkan amalan Pelabelan Alam Sekitar (Environmental Labelling) di Malaysia di bawah program pelabelan MyHijau pada Oktober 2012. Program ini bertujuan untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang mesra alam sekitar. Antara produk MyHijau adalah peralatan elektrik, makanan & minuman, bahan binaan, produk isi rumah, alat tulis & bekalan pejabat, perabot & pembungkusan, pakaian dan produk kayu mampan.

KeTTHA bersama-sama dengan GreenTech Malaysia, menubuhkan mekanisme untuk memastikan penyelarasan yang lancar dan konsisten di kalangan pelbagai agensi, badan-badan pensijilan, akademik dan institusi penyelidikan dan lain-lain pengendali skim yang sedia ada. GreenTech Malaysia juga telah melancarkan label pengesahan GreenTag pada IGEM 2012 untuk menggalakkan dan menyokong pengeluar yang ingin meningkatkan pensijilan hijau. GreenTAG yang dibangunkan di bawah program label MyHijau, merupakan satu program sokongan yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau pengeluar produk-produk hijau untuk mencapai pensijilan MyHijau untuk barangan dan perkhidmatan mereka. PKS akan menerima insentif pensijilan berupa latihan percuma dan perundingan. Produk dengan GreenTAG juga akan disenaraikan dalam Direktori MyHijau dan mendapat peluang untuk mengambil bahagian dalam program Perolehan Hijau Kerajaaan ataupun  Malaysia’s Government Green Procurement (GGP).

Faedah Pelaksanaan Eko-Label

1. Maklumat Kepada Pengguna
Eko-Label adalah satu cara yang berkesan untuk memaklumkan pengguna tentang impak kepada alam sekitar daripada produk yang dipilih atau dibeli. Ia juga memberi kuasa kepada pengguna untuk membezakan antara produk yang berbahaya kepada alam sekitar dan produk yang serasi dengan objektif pemeliharaan alam sekitar. Di samping itu eko-label menjadikan pengguna lebih perihatin terhadap manfaat daripada produkproduk tertentu seperti kertas kitar semula dan ejen pembersihan bebas toksik. Ia juga menggalakkan kecekapan tenaga, pengurangan sisa dan pengawasan produk.
2. Menggalakkan Kecekapan Ekonomi
Secara umumnya pelaksanaan eko-label adalah lebih murah berbanding penguatkuasaan undang-undang. Dengan memberi kuasa kepada pengguna dan pengeluar untuk membuat  pilihan yang menyokong  - pemuliharaan alam sekitar, keperluan untuk peraturan dapat dikekalkan pada tahap minima. Ini dapat memberi manfaat kepada kerajaan dan juga industri.
3. Merangsang Pembangunan
Pasaran Ramai pengguna kini lebih cenderung untuk memilih atau membeli produkproduk yang mesra alam. Secara tidak langsung ia akan merangsang bekalan dan permintaan produk eko-label dalam pasaran. Ini adalah satu isyarat penting yang memberi petunjuk pasaran kini ke arah kesedaran alam sekitar.
4. Menggalakkan Penambahbaikan yang Berterusan
Satu pasaran yang dinamik untuk produk eko-label dapat menggalakkan komitmen daripada korporat untuk meningkatkan kualiti alam sekitar secara berterusan. Pengguna juga dapat menilai  pengurangan impak berbahaya daripada produk terhadap alam sekitar dari masa ke masa.
5. Membantu Pemantauan Produk
Faedah lain daripada pelabelan eko adalah dapat memudahkan pemantauan dan pengenalpastian terhadap pengiktirafan  produk mesra alam daripada pengeluar. Pesaing dan pelanggan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menilai kesahihan pengiktirafan  produk tersebut terutama apabila berdepan dengan pengiktirafan  yang diragui.
6. Perolehan Hijau Kerajaan/ Malaysia’s Government Green Procurement (GGP)
GGP merupakan perolehan produk, perkhidmatan dan kerja-kerja dalam sektor awam yang mengambil kira kriteria dan piawaian alam sekitar untuk memelihara alam sekitar dan sumber semula jadi yang bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Pelaksanaan GGP di Malaysia akan menggalakkan lagi pembekalan produk dan perkhidmatan hijau dan mendorong amalan mesra alam dalam industri tempatan. Ia juga dapat meningkatkan inovasi dalam kalangan industri tempatan untuk menghasilkan produk mesra alam kerana kerajaan  sebagai pembeli terbesar di Malaysia hanya akan mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang mendapat pengiktirafan eko-label bagi kegunaan institusi awam di bawah pelaksanaan GGP. Oleh itu, industri tempatan khususnya yang menghasilkan produk-produk eko-label akan mendapat pasaran yang lebih luas di Malaysia.

Rumusan
Kesedaran pengguna yang rendah tentang isu alam sekitar akan merencatkan lagi keyakinan syarikat-syarikat tentang kelebihan yang bakal mereka perolehi daripada pelabelan eko. Kerja-kerja pendidikan awal perlu dilaksanakan seiring dengan pengenalan eko-label bagi memberikan kefahaman dan pendedahan kepada masyarakat. Malah, di negaranegara maju yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap alam sekitar, kerja-kerja penggalakan pelabelan ekogiat dijalankan. Kejayaan akan dapat dilihat apabila pengguna lebih cenderung untuk memilih produk yang diiktiraf dengan pelabelan eko.
Penggunaan produk eko–label dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar dengan meningkatkan kecekapan tenaga, pengurangan sisa dan pengawasan produk dalam aktiviti harian manusia. Eko-label juga dapat menjadi alat pemasaran berkesan yang membolehkan syarikat untuk meletakkan produk mereka sebagai produk mesra alam. Ia secara tidak langsung meningkatkan lagi daya saing produk syarikat dalam pasaran kerana pengguna kini semakin menitikberat kelangsungan alam sekitar.

Sumber:http://www.greentechmalaysia.my/http://www.kettha.gov.my/http://www.sirim-qas.com.my / http://www.greenprospectsasia.com

2.  ADAKAH  PELABELAN EKO PENTING KEPADA PENGGUNA????
                                   
Pelabelan eko boleh didefinisikan melalui beberapa cara. Ia merupakan satu sistem pelabelan untuk barangan pengguna untuk menunjukkan bahawa produk tersebut adalah mesra alam, dihasilkan melalui barangan yang boleh atau yang telah dikitar semula ataupun satu produk yang dihasilkan tanpa menyebabkan sebarang kesan negatif kepada alam sekitar.

Pelabelan Eko adalah suatu sistem pelabelan untuk barangan pengguna (termasuk  makanan) yang dihasilkan untuk mengelakkan kesan berbahaya terhadap alam – sekitar. Sistem pelabelan Eko terdapat untuk kedua- dua makanan dan juga barangan pengguna.

Pelabelan Eko memudahkan pengguna untuk memilih “green products”. Ia juga merupakan suatu skim sukarela yang ditubuhkan  untuk menggalakkan sektor perniagaan supaya menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang mesra alam. Label ini juga dapat membantu para pengguna supaya mengenal pasti barangan yang mesra alam. Sebagai contoh, penggunaan pelabelan eko dapat digunakan untuk barangan yang tidak mengandungi klorofluorokarbon (CFC). CFC adalah bahan yang dapat merosakkan lapisan ozon. Pelabelan Eko juga terdapat pada barangan yang boleh dikitar semula, dan juga barangan yang mempunyai pengguna tenaga yang efisien atau menjimatkan tenaga.

                                   Rajah 1: Label produk tidak mengandungi kluorofluorokarbon (CFC)

Di Malaysia, kita memerlukan minyak yang banyak untuk menghasilkan tenaga dan untuk kegunaan kenderaan. Barangan pengguna di rumah yang paling banyak menggunakan tenaga adalah  peti sejuk. Suruhanjaya Tenaga di Malaysia telah membangunkan skim pelabelan penggunaan tenaga elektrik. (Rajah 1). Kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk contohnya disahkan dengan menggunakan kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga. Penilaian Tenaga Bertaraf 5 bintang menunjukkan penjimatan tenaga yang paling tinggi.

                                                 Rajah 2: Label kecekapan penggunaan tenaga
Kitar semula adalah suatu langkah yang dapat menjimatkan sumber semula jadi, mengurangkan pembaziran dan pencemaran alam sekitar. Salah satu daripadanya adalah kitar semula plastik. Label kitar semula dapat membantu pengguna dan pihak pengurusan sampah untuk mengasingkan plastik untuk dikitar semula.
                                                              Rajah 3: Label Kitar Semula


                                                  Rajah 4: Label kitar semula 7 jenis plastik

Isu – isu  penting
Berdasarkan satu kajian lestari oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan serta FOMCA, hanya 5.3% daripada 1,000 orang responden telah dapat mengenal pasti label kecekapan tenaga.  Selain itu, 88.2% daripada keseluruhan responden dapat mengenali label kitar semula tetapi mereka tidak tahu bahawa terdapat 7 jenis plastik yang boleh dikitar semula.

Isu pemanasan global dan perubahan cuaca dunia semakin hangat diperkatakan. Maka, usaha untuk mengalakkan penggunaan  tenaga yang cekap dijalankan dalam kalangan pelajar sekolah amat penting dan harus juga diserapkan kepada orang awam. Pelabelan dan penilaian ketepatan memainkan peranan yang penting untuk memastikan para pengguna yang menyokong pasaran untuk produk mesra alam dilindungi.

Peranan Pengguna
Untuk memastikan program pelabelan eko ini berjaya, pengetahuan, pendekatan dan permintaan daripada pengguna memainkan peranan yang sangat penting. Pengguna harus mempunyai kepercayaan terhadap tuntutan  yang dibuat oleh pengeluar produk tersebut seperti yang dituntut dalam pelabelan eko. Tetapi perkara ini memang tidak boleh dicapai dengan masa yang cepat. Kepercayaan pengguna terhadap tuntutan seperti pelabelan eko memang akan mengambil masa. Satu perkara penting yang harus diutamakan dalam pelabelan eko ini adalah untuk memastikan maklumat mengenai label eko dan pensijilan  produk tersebut disampaikan kepada pengguna secara efektif.

Sumber: Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia

1 comment:

  1. Apakah kaitan antara penggunaan barang barang yang mempunyai label mesra alam dengan pengurangan pembebasan CO2

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan / pendapat anda....