KEPENTINGAN LABEL PRODUK

LABEL PRODUK DAN KEPENTINGANNYA KEPADA PENGGUNA

Pengenalan
Pada masa kini jika kita pergi ke mana-mana pasaraya kita boleh lihat pelbagai produk dijual dengan pembungkusnya yang pelbagai warna dan mempunyai label produk. Pengeluar setiap produk kini memastikan produk mereka mempunyai label yang cukup untuk pengguna mereka berbanding dengan pengeluar produk dua puluh atau tiga puluh tahun sebelum ini yang hanya mementingkan reka bentuk dan hiasan luar produk sahaja. Kita boleh lihat label diletakkan diatas semua produk yang dikeluarkan oleh industri besar ataupun kecil tidak kira barangan elektrik, perabut dan makanan. Jadi, apa yang dimaksudkan dengan label produk?. Label produk bermaksud sesuatu simbol atau maklumat mengenai sesuatu produk seperti harga, jenis bahan yang digunakan, tarikh luput dan cara penggunaan dan maklumat ini biasanya diletakkan di bahagian luar pembalut produk.

Banyak negara telah mewajibkan setiap produk yang dijual di negara mereka perlulah mempunyai label yang mencukupi untuk pengguna mereka. Mengapa label produk diwajibkan dan apakah kepentingannya kepada pengeluar dan pengguna?. Oleh itu terdapat banyak kekpentingan yang boleh kita perolehi berdasarkan label produk.

Apakah itu Label
Tahukah anda bahawa label produk memberikan banyak kepentingan kepada pengguna? Menurut kamus dewan, label ialah kepingan kecil kertas, atau kad dan lain-lain yang dilekatkan atau ditampalkan pada sesuatu seperti botol, beg dan sebagainya untuk memberi sedikit keterangan mengenai produk. Melabel pula bermaksud memberi label pada sesuatu barangan manakala pelabelan bererti perbuatan membubuh label pada sesuatu. Label yang ada pada sesuatu barangan akan memudahkan pengguna untuk memilih dan membeli barangan yang diingini. Hal ini demikian kerana ketiadaan label akan mendatangkan seribu satu masalah kepada pengguna.

Kepentingan Pelabelan kepada pengguna

Kepentingan pelabelan  yang pertama ialah terkandungnya nama produk dalam label. Nama ialah salah satu aspek penting yang perlu ada pada sesuatu produk kerana tanpa nama, pengguna tidak dapat mengetahui barangan yang terdapat di pasaran . dengan adanya nama yang ditampal pada sesuatu produk, pengguna tidak akan terkial-kial mencari barangan yang diingini kerana kebanyakan barangan yang dijual akan dibungkus terlebih dahulu tanpa menampakkan isinya.

Kepentingan pelabelan  yang kedua ialah terdapat tanda harga pada barangan. Tanda harga yang diletakkan haruslah jelas dan betul. Hal ini penting agar pengguna tidak berasa tertipu apabila mereka membeli sesuatu barangan. Kegunaan tanda harga ialah pengguna dapat membandingkan harga barang di sesebuah kedai dengan kedai yang lain sekaligus dapat menjimatkan wang mereka daripada terbuang begitu sahaja. Kebiasannya syarikat pengeluar produk telah meletakkan harga produk untuk dijual di pasaran pada pembungkus produk mereka. Tetapi biasanya pihak penjual tidak kira peniaga pasaraya ataupun pekedai runcit akan meletakkan tanda harga mereka sendiri samaada mereka mahu menaikkan ataupun menurunkan harga produk yang akan dijual. Oleh itu, sebagai pengguna yang prihatin kita pasti akan membezakan harga sesuatu produk ketika hendak membelinya. Dengan adanya tanda harga kita boleh membezakan harga produk. Sekiranya harga produk itu tidak relevan dengan harga pasaran misalnya dijual pada harga yang sangat tinggi kita boleh melaporkannya kepada persatuan-persatuan pengguna yang terdapat di Malaysia.

Kepentingan pelabelan  yang ketiga  ialah terdapat tarikh luput pada barangan yang dijual. Dengan adanya tarikh luput, pengguna dapat membezakan antara produk yang tidak boleh digunakan dengan yang masih boleh digunakan. Kebiasaan, tarikh luput akan diletakkan pada produk yang berasaskan makanan. Sekiranya makanan yang telah luput tarikh, kebiasaannya makanan itu akan berubah dari segi warna, rasa dan bau. Warna makanan itu akan berubah menjadi gelap. Bagi makanan seperti roti, kulat akan tumbuh di atasnya apabila roti itu mencapai tarikh luput yang ditetapkan. Rasa makanan pula akan berubah menjadi masam dan tidak seperti kebiasaannya dan makanan akan berbau busuk. Oleh sebab itu, tarikh luput amat diperlukan ketika melabel sesuatu produk agar pengguna boleh mengagak tempoh masa untuk menggunakan barangan yang dibeli itu.

Kepentingan pelabelan  yang keempat ialah terkandungnya bahan yang digunakan untuk membuat sesuatu barangan. Kepentingan meletakkan senarai bahan yang digunakan ialah pengguna dapat mengetahui ramuan atau bahan yang digunakan untuk membuat produk tersebut terutamanya bahan-bahan yang terdapat dalam makanan. Sepertimana yang telah dijelaskan di dalam al-Quran, umat Islam haram untuk memakan makanan yang tidak halal atau tidak sahih tentang kehalalan makanan itu. Dengan adanya label mengenai senarai bahan yang digunakan, pengguna dapat meneliti terlebih dahulu produk yang akan dibeli dan dapat memastikan bahan yang digunakan terdiri daripada bahan-bahan yang halal di sisi agama.

Kepentingan pelabelan  yang kelima  ialah dapat membantu pengguna untuk mengetahui kelulusan barangan tersebut. Logo halal merupakan satu aspek terpenting yang perlu ada bagi menjadi ahli label sesuatu produk. Hal ini dapat membantu umat Islam memilih makanan untuk dijadikan santapan harian mereka tanpa keraguan. Pengguna juga dapat merujuk sama ada produk tersebut halal ataupun tidak pada label yang mana di situ dijelaskan serba sedikit maklumat tentang bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut. Hal ini bukan sahaja memudahkan pengguna malah membantu pengguna Islam untuk mendapatkan barangan yang halal serta berkualiti tinggi. Oleh itu, label produk penting bagi pengguna untuk mengetahui kandungan bahan yang tedapat dalam sesuatu produk itu.

Kepentingan pelabelan  yang keenam ialah terkandungnya fakta nutrisi yang terkandung dalam produk berasaskan bahan makanan seharusnya dipaparkan bagi memudahkan pengguna untuk menghitung nilai kalori yang terdapat di dalam makanan tersebut. Pengguna dapat menjaga kesihatan mereka melalui maklumat kandungan bahan yang dipaparkan pada label sepertijumlah kalori, lemak, kolestrol, protein, gula dan banyak lagi. Kandungan gula yang dipaparkan penting bagi pengguna yang menghidapi penyakit berbahaya seperti diabetes iaitu penyakit yang memerlukan seratus satu perhatian dalam mengawal kandungan gula dalam badan. Kandungan lemak, kolestrol dan kalori pula penting bagi pengguna yang mengalami obesiti untuk mengawal jumlah kalori yang dimakan setiap hari. pengguna dapat memilih makanan yang berkhasiat. Makanan yang berkhasiat amat penting kepada pengguna terutamanya kanak-kanak untuk proses tumbesaran. Dengan makanan yang berkhasiat, tumbesaran kanak-kanak dapat berjalan dengan baik. Bagi mengelakkan penyakit yang tidak diingini daripada terkena pada pengguna, pengguna memerlukan label bagi mengetahui kandungan yang terdapat dalam produk tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa label memudahkan pengguna dalam mendapatkan maklumat mengenai produk yang ingin dibeli.

Kepentingan pelabelan  yang ketujuh ialah terdapat tanda amaran. Tanda amaran berfungsi untuk menegaskan bahawa setiap barang itu boleh digunakan pada tahap tertentu sahaja. Sebagai contoh, bahan mainan kanak-kanak perlu diletakkan tanda amaran agar tidak mencederakan kanak-kanak di bawah umur. Dalam masa yang sama, pengguna terdidik untuk lebih berwaspada dalam setiap tindakan sama ada ketika membeli, mengguna dan ketika melakukan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan keselamatan diri seseorang. Semua mainan yang dijual mesti mempunyai cop yang disahkan oleh pihak berwajib. Mainan-mainan yang tidak mempunyai cop tersebut dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada kanak-kanak kerana tidak melalui prosedur pemeriksaan keselamatan oleh kementerian dan peraturan itu selaras dengan piawaian keselamatan kanak-kanak yang mewajibkan mainan baru dikilangkan atau diimport supaya didaftarkan dan dibekalkan oleh pihak industri di samping memastikan keselamatan pengguna terpelihara.            Label produk juga amat penting kerana kadangkala produk yang dibeli mengandungi bahan-bahan yang beracun dan berbahaya. Oleh itu label yang yang dikeluarkan pada produk mestilah mempunyai simbol-simbol amaran yang menyatakan mengenai produk itu. Simbol-simbol ini hendaklah jelas dan boleh dilihat oleh pengguna. Selain itu, pengeluar produk mestilah menyediakan satu label mengenai cara-cara mengendalikan produk-produk ini. Hal ini kerana dengan adanya label dan panduan yang jelas maka risiko kemalangan dan kecederaan ketika menggunakan produk-produk yang berbahaya dapat dikurangkan. Oleh sebab itu, tanda amaran pada label juga penting kepada pengguna untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kecederaan daripada berlaku dan seterusnya menyelamatkan nyawa seseorang.

Kepentingan pelabelan  yang kelapan ialah untuk menerangkan fungsi-fungsi produk. Hal ini boleh dibuktikan apabila pengguna ingin membeli sesuatu produk misalnya telefon bimbit. Sudah tentu pengguna ingin tahu perbezaan antara setiap model telefon bimbit. Jadi pada pembungkus setiap telefon bimbit mesti ada label yang menerangkan mengenai fungsi, aplikasi dan kelebihan sesuatu telefon bimbit. Terdapat satu situasi dimana telefon bimbit  yang sama bentuk, saiz, warna tetapi terdapat perbezaan dari segi saiz memori dalamannya. Jadi sudah tentu ini akan memudahkan pengguna untuk memilih telefon bimbit yang akan dibelinya. Situasi ini bukan sahaja berlaku ketika membeli alat telekomunikasi tetapi juga ketika hendak membeli produk-produk yang lain.

Dengan menggunakan label, pengeluar produk boleh meyakinkan pengguna bahawa produk mereka berkualiti. Kebiasaannya pengeluar produk akan mempamerkan logo-logo yang menunjukkan mereka telah memenangi anugerah yang mengiktiraf produk mereka ialah produk yang berkualiti. Pengguna yang ingin membeli barangan berkenaan dengan produk berkenaan pasti tertarik dan yakin untuk membeli produk mereka. Oleh itu, secara tidak langsung hal ini mendatangkan faedah kepada pengeluar produk.

Selain itu, pengeluar produk boleh memberi jaminan kepada pengguna mengenai produk mereka. Dengan penggunaan logo halal yang diperolehi daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mereka boleh menarik pengguna yang beragama Islam memberi produk mereka tanpa ragu-ragu. Selain itu label produk yang dibubuh juga mengandungi maklumat mengenai kandungan bahan. Hal ini membolehkan pengguna membezakan kandungan produk kerana kadangakala mereka alah kepada kandungan sesuatu produk. Sebagai contoh jika seseorang itu alergik kepada laktosa daripada produk tenusu haiwan sudah tentu dia tidak akan memilih produk yang dihasilkan daripada tenusu haiwan kerana dia boleh mengetahui melalui label produk yang dipamerkan. Dengan itu risiko untuk mendapat alahan dapat dicegah.

Label makanan juga penting bagi mereka yang mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dan adakalanya orang yang ingin mengurangkan berat badan juga akan mengambil perhatian terhadap label makanan. Hal ini kerana pada label produk makanan biasanya terdapat maklumat pemakanan produk tersebut. Ini penting kerana maklumat pemakanan biasanya menyatakan kandungan gula, lemak tepu, lemak tidak tepu dan jumlah kalori. Selain itu kandungan vitamin juga akan diberitahu didalam maklumat pemakanan. Oleh itu, pengguna akan lebih mudah untuk membuat keputusan samaada untuk memilih makanan yang tinggi ataupun rendah kalori.

Kepentingan pelabelan  yang terakhir ialah pengeluar produk juga sering meletakkan nombor telefon, faks dan laman web yang boleh dihubungi bagi membolehkan pengguna produk mereka memberikan maklumbalas mengenai produk mereka. Maklumbalas yang diberikan oleh pengguna tidak semestinya aduan mengenai produk tetapi kadangkala cadangan yang boleh membantu syarikat pengeluar produk untuk menambahbaik produk dan mengembangkan lagi pasaran produk mereka.

Secara intihannya, label produk yang sering dipandang enteng oleh sesetengah pihak mendatangkan banyak manfaat kepada pengguna khususnya. Sebenarnya terlalu banyak kepentingan yang boleh kita perolehi daripada pelabelan sesuatu produk. Bukan sahaja kita dapat membezakan harga tetapi kita juga boleh menjaga kepentingan dan hak kita sebagai pengguna. Label ini harus diteliti dahulu sebelum seseorang itu membeli sesuatu barangan. Ketiadaan label produk bukan sahaja akan menyusahkan pengguna malah terdapat sesuatu produk yang boleh membahayakan nyawa orang lain. Semua pihak seharusnya mengubah perspektif mereka dengan menjadikan label produk sebagai salah satu aspek penting ketika ingin membeli sesuatu barangan. Diharapkan dimasa hadapan kerajaan juga lebih aktif dalam melaksanakan undang-undang yang lebih baik bagi mewajibkan setiap pengeluar produk mempamerkan label pada produk mereka. Kesimpulannya, kita sebagai pengguna perlulah lebih prihatin terhadap label-label produk yang dipamerkan oleh pihak pengeluar dan sentiasa sedar akan hak kita sebagai pengguna.

5 comments:

Terima kasih atas pandangan / pendapat anda....