LABEL ELEKTRIK

1. LABEL PRODUK ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK YANG BETUL 

Kajian pasaran yang telah dijalankan oleh Persatuan Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) baru-baru ini, mendapati  bahawa banyak produk elektrik dan elektronik yang memberikan maklumat yang salah pada label. Labek berperanan sebagai informasi yang penting mengenai  sesuatu produk. Bagi produk elektrik  dan elektronik ia dapat memberikan informasi tentang kadar penggunaan elektrik sesebuah produk apabila produk tersebut digunakan.

Selain itu, label bagi produk-produk  besar seperti mesin basuh juga sukar untuk difahami dari segi penggunaan tenaga elektrik. Brosur-brosur yang diberikan juga tidak menggambarkan kadar penggunaan kuasa elektrik  tetapi  lebih memberikan tumpuan kepada kelebihan produk. Label mengenai kadar kuasa diperlukan bagi membantu pengguna mengenal pasti penggunaan tenaga elektrik  ketika peralatan elektrik tersebut beroperasi.

Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah label mandatori Suruhanjaya Tenaga untuk produk elektrik  dan elektronik. Label ini mengiktiraf sesuatu produk itu selamat.

Oleh itu disarankan supaya:
  • Label yang mengandungi maklumat produk  hendaklah dalam keadaan yang mudah untuk dilihat, sama ada di bahagian hadapan  atau bahagian atas produk. Ini bagi membantu pengguna mengetahui  maklumat produk dengan jelas.
  • Kebanyakan produk elektrik mempunyai kadar voltan dan arus elektrik. Oleh itu kadar kuasa juga perlu dinyatakan dalam label ini. Kadar kuasa ini perlu disahkan oleh agensi pengiktirafan seperti SIRIM. Dengan mengetahui  kadar  kuasa ini, pengguna dapat membuat anggaran kos tenaga elektrik yang digunakan oleh produk tersebut.
  • Semua produk  elektrik dan elektronik hendaklah diwajibkan untuk meletak label kecekapan  tenaga.
  • Kedai elektrik dan pusat membeli-belah hendaklah memastikkan bahawa hanya produk yang disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga  sahaja yang dijual. Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas sekiranya mereka menjual produk tiruan atau produk yang memberikan maklumat yang salah.


2. PELABELAN PRODUK-PRODUK ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK MESTI DIPIAWAIKAN


Label adalah salah satu elemen penting dalam merumuskan maklumat produk kepada pengguna. Maklumat yang tepat akan membantu pengguna untuk memilih dan menggunakan produk dengan bijak. Berdasarkan rundingan dengan orang awam dan perbandingan dengan lain-lain amalan pelabelan antarabangsa yang lebih baik, AWER mencadangkan penambahbaikan dalam pelabelan bagi produk elektrik dan elektronik di Malaysia untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga. Apabila penambahbaikan pelabelan dilakukan mengikut cadangan AWER, ia akan memberi faedah secara langsung kepada pengguna untuk mengukur penggunaan tenaga elektrik mereka dengan mudah. Penambahbaikan ini juga perlu dilakukan selari dengan penguatkuasaan.

Tambahan pula, kerajaan telah berjanji untuk menaik taraf semua label kecekapan tenaga penarafan 5 bintang sukarela kepada pelabelan mandatori. Akan tetapi, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP) tidak memberikan tempoh pelaksanaan perkara ini. Pelabelan penarafan 5 bintang mandatori adalah penting untuk meningkatkan kehadiran produk-produk yang mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi dalam pasaran serta membantu pengguna membeli produk-produk cekap tenaga dengan mudah.


3.  KECEKAPAN TENAGA

Suruhanjaya Tenaga telah menubuhkan skim pelabelan tenaga bagi peralatan elektrik rumah. Kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk contohnya disahkan dengan mengguna pakai kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong  oleh Suruhanjaya Tenaga. Label Penilaian Tenaga bertaraf 5 bintang  menunjukkan penjimatan tenaga yang paling tinggi. Kecekapan tenaga merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana. Sebagai pengguna, amalan kecekapan tenaga boleh mengurangkan perbelanjaan, menjimatkan kos sara hidup dan mengelakkan pembaziran.

Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga.Program pelabelan cekap tenaga ini bertujuan untuk mengalakkan industri untuk menghasilkan barang elektrik yang menjimatkan tenaga.

Selain itu, sesebuah syarikat barang elektrik juga mempunyai kelebihan dari segi persaingan kerana barang mereka mempunyai label yang menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan tenaga elektrik.




 Label cekap tenaga ini bertujuan memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap barang elektrik yang cekap tenaga.Bintang pada label cekap tenaga ini menunjukkan kecekapan barang elektrik tersebut dalam  menjimatkan tenaga.

Label yang mempunyai  taraf 1 bintang menunjukkan barang elektrik tersebut mempunyai kecekapan tenaga  yang rendah dan taraf 5 bintang menunjukkan barang tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang paling tinggi.

Setakat ini label tersebut boleh didapati pada barang elektrik tertentu seperti peti sejuk, pendingin hawa, televisyen dan kipas angin.Pengguna boleh membuat pilihan dengan melihat kepada taraf bintang pada barang elektrik tersebut. Label ini juga boleh membantu pengguna  membuat perbandingan antara satu barang dengan barang yang lain.

Pengiraan kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk ditentukan melalui kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga.

Proses pengujian tersebut dijalankan oleh pihak SIRIM. Sekiranya pengujian tersebut lulus, maka Suruhanjaya Tenaga akan memberi pengiktirafan label kecekapan tenaga berdasarkan  taraf 1 hingga 5 bintang.Standard adalah satu panduan yang mengariskan ciri-ciri keselamatan dan kualiti bagi sesuatu barang dan perkhidmatan.

Di Malaysia, satu jawatankuasa teknikal Performance of Household and Similar Electrical Appliances telah ditubuhkan bertujuan membangunkan standard berkaitan dengan kecekapan tenaga. Standard ini bertujuan menghasilkan barangan elektrik bagi kegunaan isi rumah yang cekap tenaga. Dokumen MS (Malaysian Standard) yang sedang dibangunkan ini akan membantu industri dan pengeluar untuk mematuhi ciri-ciri dan kriteria tertentu yang ditetapkan.

4.  PELABELAN   KECEKAPAN  TENAGA: SISTEM KADARAN BINTANG DAN LABEL

Pelabelan Kecekapan Tenaga merupakan suatu alat penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penggunaan tenaga bagi alat elektrik di rumah. Label kecekapan tenaga dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga kepada pengilang alat elektrik untuk dan mempromosikan alat eletrik cekap tenaga dalam pasaran. Pengilang perlu mematuhi piawaian dan syarat ujian prestasi tenaga yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk kadaran bintang ini sebelum kelulusan diberikan untuk setiap model yang di keluarkan.

Label kecekapan tenaga ini memberi maklumat kepada pengguna tentang penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik. Label kadaran tenaga atau energy rating label menunjukkan anggaran penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik berdasarkan sistem kadaran kecekapan tenaga. Kadaran 1 hingga 5 ditunjukkan dalam label bermakna 1-bintang adalah yang paling kurang cekap dan 5-bintang adalah yang paling cekap.

Label ini mengandungi anggaran jumlah penggunaan tenaga tahunan dalam kilowatt-jam bagi setiap alat elektrik, berdasarkan keputusan ujian makmal yang diiktiraf. Maklumat yang disediakan akan membantu pengguna untuk memilih model yang paling cekap tenaga semasa membuat pembelian peralatan elektrik. Penggunaan peralatan elektrik 5-Bintang akan mengurangkan penggunaan elektrik dan bil elektrik di rumah. Ini secara langsung akan menghasilkan pendapatan isi rumah boleh guna atau disposable household income yang lebih tinggi terutamanya dalam jangka masa yang panjang yang akan meningkatkan kualiti kehidupan.

Alat eletrik yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi Kadaran Bintang kecekapan tenaga ialah peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas yang digunakan di rumah. Senarai produk ini boleh didapati di laman web www.st.gov.my dan www.saveenergy.gov.my.


PENJIMATAN DENGAN PRODUK CEKAP AIR

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memperkenalkan label kecekapan air atau Water Efficient Product Labelling Scheme (WELPS) untuk produk-produk yang cekap penggunaan air. Label ini berfungsi dalam membantu pengguna membuat pilihan yang betul semasa pembelian produk dan Ia juga dapat menggalakkan pengeluar untuk menghasilkan lebih banyak produk cekap air di pasaran.  Lebih 90 model produk telah pun menyertai WELPS dan akan disenaraikan dalam direktori MyHijau.



Apa contoh barangan cekap air?








Kehidupan hijau kini untuk masa hadapan

Pada masa kini, penggunaan label ini adalah secara sukarela namun begitu ia diharap dapat menjadi mandatori di mana barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang tidak menggunakan label WELPS, tidak akan dibenarkan memasuki industri perkhimatan air.

Pemaju-pemaju perumahan juga diharap dapat mempertimbangkan penggunaan peralatan penjimatan air dalam projek-projek perumahan atau pejabat yang baru. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan permintaan air mentah yang semakin kritikal, malah ia juga dapat menggalakan kehidupan yang lebih hijau dan membantu pengguna mengurangkan kos bil air dengan pengurangan penggunaan air.

Sudah tiba masanya untuk kita berubah kepada kehidupan yang lebih hijau demi menjamin bekalan air yang mencukupi untuk masa akan datang kerana kita boleh hidup tanpa makanan selama lebih daripada 2 bulan, tetapi kita tidak boleh hidup lebih daripada beberapa hari tanpa air. Air sangat berharga untuk dibazirkan begitu sahaja.

Sumber: Forum Air Malaysia

2 comments:

Terima kasih atas pandangan / pendapat anda....