Tuesday, June 3, 2014

PENGGUNA BIJAK STANDARD

Sebagai pengguna, sudah semestinya kita mengharapkan setiap wang yang dibelanjakan cukup berbaloi dengan apa-apa yang dibeli. Jika barangan tersebut tidak bermutu, mulalah pengguna berasa tertipu. Standard selalunya dikaitkan dengan kualiti dan merupakan rujukan bagi pengeluar dan pengilang untuk menghasilkan suatu produk atau perkhidmatan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pembangunan standard berjalan seiring dengan kemajuan negara. Sejarah standard telah lama bermula, misalnya masyarakat purba menggunakan matahari dan purba menggunakan matahari dan bulan untuk menentukan peredaran masa dan hari. Kecanggihan dan era teknologi menggalakkan pembangunan standard secara lebih komprehensif.

Pada peringkat antarabangsa, satu badan bukan kerajaan ditubuhkan untuk menyelaraskan pembangunan standard yang dikenali sebagai international Organization for Standardization (ISO) dengan keanggotaan terkini sebanyak 164 buah negara yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland.

Malaysia, seperti negara lain turut mempunyai badan standardnya tersendiri, iaitu Jabatan Standard Malaysia atau dikenali sebagai STANDARDS MALAYSIA. Penubahan STANDARDS MALAYSIA berikutan pengkorporatan Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada 1996, dan berfungsi sebagai badan kerajaan yang mengawal selia pembangunan Malaysia Standards (MS) di Malaysia.

Malaysia menganggotai ISO sejak 1969. Hingga 9 April 2012, sebanyak 6385 MS dibangunkan dalam pelbagai bidang dan sektor. Pada 2011 sahaja, sebanyak 319 MS dibangunkan oleh STANDARDS MALAYSIA. Sektor yang terbesar yang dibangunkan oleh STANDARDS MALAYSIA, termasuklah peralatan perubatan dan kemudahan untuk penjagaan kesihatan, penjanaan transmisi dan pengagihan, tenaga dan banguna, pembinaan, dan kejuruteraan awam.

Pembangunan MS di Malaysia dilihat setanding dengan negara maju yang lain memandangkan proses pembangunannya berlandaskan kriteria dan prinsip antarabangsa. MS yang dibangunkan juga telus kerana orang awam turut berpeluang memberikan maklum balas sepanjang tempoh ulasan umum selama dua bulan yang ditetapkan sebelum suatu standard dimuktamadkan sebagai MS.

Secara umumnya, standard merupakan dokumen yang dibangunkan secara konsensus dan diluluskan oleh badan yang diiktiraf yang pematuhan terhadap standardnya adalah secara sukarela. Suatu standard yang kompetitif haruslah dibangunkan oleh kumpulan yang terdiri daripada perwakilan yang seimbang, seperti pihak kerajaan, badan profesional, ahli akademik, wakil industri dan pengguna. Walaupun standard secara umumnya tidak wajib, pematuhan kepada standard boleh menjadi mandatori sekiranya dikuatkuasakan  oleh badan penguatkuasa dan pengawal selia menerusi undang-undang atau peraturan berkaitan.

Kebiasaannya, standard menjadi mandatori oleh pihak yang berwajib sekiranya membabitkan isu keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan terhadap alam sekitar. Sehingga 30 April 2012, sebanyak 345 MS dijadikan mandatori di Malaysia. Misalnya, standard untuk helmet dibawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), peralatan elektrik di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Tenaga, standard untuk alatan mainan kanak-kanak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan banyak lagi.

standard yang diguna pakai secara sukarela pula, seperti standard halal. Walau bagaimanapun, sekiranya suatu barangan yang diberikan sijil mengikut standard yang ditetapkan, pematuhan terhadap standard menjadi kemestian mengikut kriteria dan prosedur yang ditetapkan oleh badan pensijilan terbabit. Jika produk yang diberikan sijil tidak mematuhi standard, pengeluar dan pengilang akan menanggung risiko penarikan balik sijil tersebut yang akan menjejaskan kredibiliti dan kebolehpercayaan pengguna terhadap produk.

Pembangunan suatu standard bergantung pada keperluan dan kehendak industri. Jumlah bilangan standard yang tinggi tidak mencerminkan perkembangan ekonomi sesebuah negara, tetapi sejauh mana penggunaan standard dimanfaatkan untuk kegunaan umum perlu dititkberatkan. Pengguna yang bijak haruslah sentiasa peka krtika hendak membeli barangan atau menggunakan suatu perkhidmatan.

Yang paling penting, pastikan label dibaca terlebih dahulu untuk mengetahui maklumat umum produk, seperti kandungan, nama, dan lokasi pengilang serta tarikh luput. Pengguna juga harus melengkapkan ilmu pengetahuan bagi mengetahui suatu produk itu sama ada mematuhi standard atau pun tidak. Sebagai pengguna, kita boleh melihat atau merujuk kepada produk tersebut, sama ada mempunyai logo atau tanda pensijilan yang dikeluarkan oleh pihak yang bertauliah.

Selain itu, badan pensijilan yang bertauliah di Malaysia telah mendapat pengiktirafan daripada STANDARDS MALAYSIA sebagai kompeten dan boleh menjalankan pengauditan terhadap syarikat mengikut standard yang telah ditetapkan. Badan pensijilan inilah yang akan mengeluarkan sijil kualiti kepada syarikat yang berjaya  melepasi audit yang dijalankan ke atas mereka. Kebiasaannya, STANDARDS MALAYSIA akan menjalankan penilaian pemantauan terhadap badan pensijilan secara berkala bagi memastikan etika dan ketetapan sebagai badan pensijilan yang berdaya saing dipatuhi.

Orang awam mempunyai kuasa untuk memastikan barangan yang berada di pasaran mematuhi standard. Pengguna yang bijak hanya memilih barangan yang patuh mengikut standard dan memboikot produk yang tidak mematuhi standard. Pengeluar dan pengilang di Malaysia pula perlu lebih telus dan berusaha untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mematuhi standard yang digariskan.

Pihak kerajaan pula perlu melakukan lebih banyak aktiviti kesedaran dan promosi tentang standard dari semasa ke semasa bagi menguar-uarkan kepentingan standard dan pematuhannya. Pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan, seperti melantik badan pembangunan standard agar kadar pembangunan standard di Malaysia lebih cepat dan berfokus.

Malah, dokumen standard juga kini boleh dibeli secara aplikasi atas talian melalui laman web MS Online. Sebagai individu, jadilah pengguna yang bijak standard agar barangan dan perkhidmatan Malaysia dapat ditingkatkan kualitinya sekali gus mendukung usaha kerajaan untuk memajukan transformasi ekonomi negara agar dapat bersaing dan setanding dengan negara maju.