Friday, March 14, 2014

LABEL HOLOGRAM MEDITAG BARU

Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan label Hologram Meditag baru yang akan digunakan pada setiap ubat yang berdaftar dengan ciri-ciri keselamatannya dipertingkatkan. Setiap premis farmasi di seluruh negara akan dibekalkan dengan alat yang boleh mengesan ketulenan Hologram Meditag ini untuk kegunaan awam.

Kementerian Kesihatan berhasrat untuk membekalkan alat ini kepada semua premis yang berurusan dengan ubat-ubatan bagi tujuan kepentingan awam. Penggunaan label baru itu merupakan antara tindakan bagi mengatasi masalah ubat-ubatan tiruan.Kementerian juga mengadakan aktiviti pendidikan pengguna bagi memberikan kesedaran kepada pengguna yang masih kurang mempunyai kesedaran tentang pentingnya keperluan pendaftaran, nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag.

Ubat-ubatan yang tidak berdaftar termasuk ubat tiruan yang ditemui pula akan dirampas oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi Kementerian. Tarikh luput produk juga disemak semasa pemeriksaan dilakukan dan masalah ini masih dapat dibendung berdasarkan kepada jumlah aduan yang diterima iaitu kurang dari lima aduan dalam tempoh lima tahun.


Sumber: BERNAMA

PENGGUNA PERLU LEBIH MAKLUMAT DALAM ISU HALAL

Masyarakat pengguna Islam di Negara ini sering berdepan dengan pendedahan media berhubung keraguan halal sesuatu produk di pasaran. Memandangkan isu halal ialah isu penting khususnya bagi yang beragama Islam, wajar bagi mereka mendapat maklumat yang betul mengenai kehalalan sesuatu produk baik untuk dimakan, diminum atau digunakan. Dalam mendapatkan hak itu, sudah tentunya juga maklumat halal perlu dinyatakan secara jelas pada pembungkusan produk.

Satu daripada peraturan itu ialah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Satu peraturan yang boleh digunapakai ialah Akta Makanan 1983 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, antaranya yang berkaitan makanan mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia dan pelabelan palsu.

Isu halal juga boleh ditangani melalui Perintah (Pengimportan) Haiwan 1962, Kementerian Pertanian dan Asas Tani iaitu peraturan yang menetapkan ternakan yang diimport hendaklah disembelih mengikut cara Islam dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Persatuan pengguna telah lama meminta agar diwujudkan sebuah akta yang khusus berkaitan halal, yang mewajibkan pengeluar dan pengedar mendapatkan pensijilan halal sekiranya mereka ingin memasarkan produk termasuk makanan kepada orang Islam.

Bagi sesetengah pengguna, khususnya yang beragama Islam, mereka mungkin peka dengan keperluan kehalalan untuk produk makanan, minuman atau yang digunakan. Bagaimanapun, atas alasan tersendiri, mereka mungkin bergantung sahaja kepada label halal (yang dieja) atau logo halal tanpa membuat semakan lebih lanjut. Ada juga yang asalkan nama produk mempunyai nama yang boleh diterima, tanpa banyak soalan akan terus membeli produk berkenaan. Bagi yang mungkin merasa was-was dan mahu mendapatkan keyakinan, mereka boleh menghubungi persatuan-persatuan pengguna, Jakim atau JAIN. Jakim umpamanya mempunyai Portal Halal Malaysia www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.

Di bawah Direktori Halal, umpamanya, orang ramai boleh menyemak maklumat sijil halal yang dikeluarkan, sama ada untuk produk gunaan, premis makanan atau pusat sembelih. Direktori itu menyediakan kemudahan carian halal berdasarkan kod bar, deskripsi produk dan nama syarikat yang telah mendapat sijil halal Malaysia. Bagi memenuhi kemudahan orang ramai, senarai badan Islam luar negara yang diperakukan bagi pensijilan halal juga disediakan.

Sumber: BERNAMA 

PEMBUNGKUSAN DAN PELABELAN PRODUK

Pembungkusan dan pelebelan adalah aspek yang penting sebelum aspek pengedaran. Kita selalu terlepas pandang dengan kepentingan pembungkusan dan pelebelan. Bungkusan dan lebel selalunya menjadi tumpuan utama pelanggan. Dari jauh pelangan nampak bungkusanya, jika menarik mereka akan datang dekat. Untuk menarik pelanggan mendekati dan tertarik dengan barangan kita, ianya perlu cantik dan juga berkeadaan baik tidak koyak, tidak berlubang, tidak rosak, mudah dibawa dan nampak ceria. Banah pembungkusan juga harus berkualiti. Jika tidak, barangan mudah rosak. Selain itu, maklumat mengenai barangan juga mestilah ditunjukkan dengan jelas pada bahagian lebel. Jika barangan makanan pula perlu ada tarikh luput dan beratnya.

Kehendak pembungkusan dan pelebelan ini nampak seolah-olah macam menyusahkan usahawan. Sebenarnya kehendak ini ini bukan hendak menyusahkan usahawan tetapi meluaskan pasaran. Produk usahawan bumiputera kita kebanyakannya mempunyai kualiti yang bagus, selalunya aspek pembungkusan masih belum mencapai tahap yang dikehendaki oleh pasaran. Kalau boleh di sebut sedikit konsep pemasaran 5P. Iaitu Product( Barangan), Price (Harga), Place (Lokasi), Promotion (Promosi) & Packaging (Pembungkusan). Lima perkara tersebut perlu ada pada barangan kita.

Tujuan membungkus adalah untuk melindungi produk kita supaya selamat dan tidak mudah rosak. Tujuan utama pelebelan pula adalah untuk memberikan maklumat tentang produk supaya pelanggan tahu apa kelebihan produk kita. Selain itu pembungkusan dan pelebelan adalah bertujuan:

1. Promosi produk melalui visual (reka-bentuk, warna, lukisan, grafik dsb.) yang dapat menarik perhatian pengguna.
2. Perkenalkan identiti korporat / syarikat melalui logo atau jenama atau cogankata.
3. Memberi maklumat tentang produk (bahan, berat / bilangan kandungan, cara guna, logo halal, dsb.)
4. Memaklumkan mengenai promosi / tawaran semasa.
5. Mudah dibawa dan disimpan
6. Patuhi peraturan dan perundangan yang ditetapkan..
7. Bersesuaian dengan kos.



PELABELAN MAKANAN UBAHSUAI GENETIK: TUNGGU SAMAPI BILA?

Bidang Agribioteknologi atau bioteknologi pertanian merupakan satu bidang yang sangat pesat berkembang dewasa ini. Penyelidikan-penyelidikan dalam bidang ini telah berjaya menghasilkan pelbagai hasil pertanian yang mempunyai ciri-ciri istimewa. Sebagai contoh, tomato FLAVRSVRTM dengan ciri-ciri lambat ranum telah dihasilkan melalui kejuruteraan genetik dan diluluskan untuk dikomersilkan pada tahun 1994. Manakala, kacang soya yang diubahsuai secara genetik pula mempunyai ciri tahan racun rumpai (herbicide resistance). Tanaman ini mula ditanam di Amerika Syarikat pada tahun 1996. Selain tomato dan kacang soya, makanan ubahsuai genetik lain yang sudahpun berada di pasaran adalah jagung dan kentang.

Kehadiran makanan ubahsuai genetik dalam pasaran bukanlah satu perkara baru. Makanan jenis ini telah berada di pasaran bertahun-tahun lamanya. Misalnya tomato FLAVRSVRTM tadi telah 15 tahun berada di pasaran. Bukan itu sahaja, tanaman-tanaman itu telah ditanam secara meluas di seluruh dunia. Sebagai contoh, bagi tanaman kacang soya, ia telah ditanam di sembilan buah negara hanya selepas 10 tahun diperkenalkan. Malah, pada tahun 2007 sahaja, separuh dari tanaman kacang soya di seluruh dunia adalah dari jenis kacang soya yang diubah suai secara genetik.

Berdasarkan kenyataan di atas, kemungkinan kita mengambil makanan ubahsuai genetik dalam kehidupan seharian adalah tidak boleh dinafikan sama sekali. Lebih merisaukan, makanan ubahsuai genetik itu tidak sahaja wujud dalam bentuknya yang asal tetapi juga wujud dalam pelbagai bentuk yang lain. Misalnya, pembekal-pembekal tempatan mengimport kacang soya secara pukal dan dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha air soya, tauhu, tempe dan sebagainya. Akhirnya, kita sebagai pengguna membeli dan makan makanan tersebut.

Dari perbincangan ini, jelas bahawa pelabelan produk bioteknologi pertanian adalah perlu. Ini kerana, pengguna perlu tahu kandungan makanan yang dimakannya. Ini adalah hak pengguna yang paling asas. Berdasarkan maklumat dalam pelabelan, maka pengguna boleh membuat pilihan. Jika pelabelan produk bioteknologi tidak dilaksanakan maka tindakan ini adalah satu usaha untuk menidakkan hak pengguna itu sendiri. Selain kelebihan kepada pengguna, pihak pengusaha atau industri juga akan mendapat faedah tertentu daripada usaha pelabelan ini. Pihak industri yang tidak takut melabelkan produk bioteknologi ini akan dilihat sebagai satu pihak yang berani, bertanggungjawab dan sangat prihatin kepada pelanggannya. Tindakan ini akhirnya akan menaikkan imej mereka juga. Di seluruh dunia, terdapat beberapa negara yang telah melaksanakan usaha melabelkan produk bioteknologi pertanian. Ada negara yang mewajibkan pelabelan produk bioteknologi misalnya negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Korea dan Australia. Namun, terdapat juga negara lain yang meletakkan syarat pelabelan secara sukarela, misalnya negara Kanada dan Amerika Syarikat.

Dalam hal pelabelan ini, pengguna berhak mendapat maklumat tentang makanannya. Dengan label tersebut, biarkan pengguna yang membuat pilihan mereka sendiri. Pengguna negara ini sudah semakin bijak. Pengetahuan mereka terhadap makanan ubahsuai genetik juga semakin baik. Walaupun ada yang kisah, namun ramai juga yang tidak hirau makan makanan ubahsuai genetik. Oleh itu, biarkanlah mereka menentukan sama ada menerima atau tidak makanan tersebut.


Sumber: http://www.ikim.gov.my

LOGO HALAL LEBIG 'MAHAL' DARIPADA NILAI PRODUK

UMUM melihat penggunaan logo dan sistem pensijilan halal semata-mata untuk kepentingan pengguna Melayu Muslim di negara ini membuat pilihan barangan di pasaran tanpa ragu-ragu. Namun, selepas diperkenalkan hampir 10 tahun, perkembangannya amat mengejutkan kerana perkataan halal bukan lagi menjadi milik mutlak etnik Melayu Muslim bahkan semakin berkembang di persada antarabangsa.

Mereka menjadikan logo halal sebagai alat pemasaran untuk memenangi hati pengguna. Statistik 2010 menunjukkan 74.7 peratus pemegang sijil halal Malaysia adalah bukan Bumiputera untuk kategori produk, premis makanan dan rumah sembelihan. Jumlah keseluruhan pemegang sijil halal Malaysia bagi 2008-2010 (sehingga Oktober) ialah sebanyak 3,889. Jumlah ini dijangka meningkat selepas pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang dijangka berkuatkuasa tahun depan.

Golongan pengeluar meletakkan nilai logo halal pada barangan mereka lebih mahal dan bernilai berbanding produk dikeluarkan. Ada berpandangan, tanpa logo halal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan/ Majlis Agama Islam, sukar untuk memasarkan produk. Malah, dalam keadaan tertentu pengguna akan mempertikaikannya. Kini halal menjadi nilai komersial yang penting mengatasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.

Kita mungkin tertanya mengapa logo halal dikeluarkan di negara ini digandingkan dengan perkataan Malaysia, iaitu Halal Malaysia. Pada perspektif syarak, perkataan halal sudah cukup sebagai penunjuk aras barangan itu dibenarkan atau harus digunakan dari segi hukum, keselamatan dan mutu. Inilah keunikan di Malaysia. Sebelum penandaan halal menjadi faktor penting dalam dunia perniagaan hari ini, sensitiviti halal sudah tertanam kukuh dalam kebudayaan masyarakat Islam terutama bagi sumber makanan dan produk barangan gunaan harian.

Namun, penggunaan bahan dan barangan ringkas lebih-lebih lagi dalam produk makanan pada masa lalu menyebabkan pelabelan ini tidak dipandang penting berbanding hari ini. Tambahan, pengetahuan dan kesedaran masyarakat Islam terhadap kandungan bahan mentah tidak begitu diberi perhatian.

JAKIM sebagai badan penyelaras pensijilan halal di Malaysia sudah memperkenalkan logo halal Malaysia yang standard bagi menjawab segala persoalan kerana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut mengeluarkan logo halal masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri. Sebagai panduan kepada pengguna, logo dikeluarkan secara rasmi kepada premis pemohon ialah berwarna hitam pekat. Bagi memudahkan pihak pengeluar, mereka dibenar menggunakan warna lain mengikut produk dihasilkan asalkan tidak sedikitpun merubah spesifikasi logo asal. Dengan penggunaan satu logo mulai 2007, maka secara langsung logo lama yang masih beredar di pasaran tercatat perkataan JAKIM, JAIN atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dijangka akan dihapuskan secara berperingkat.

Tujuan utama pengenalan logo ini untuk penyelarasan selain menghapuskan penggunaan logo halal palsu dan sebarang logo halal yang tidak disahkan pihak berkuasa negara Islam. Logo halal digunakan premis tanpa pengesahan rasmi JAKIM/JAIN tidak boleh dipertanggungjawabkan sungguhpun penggunaannya tiada sekatan dari sudut perundangan.

Penggunaan logo halal tidak lagi dipandang enteng tetapi berubah menjadi keperluan pihak industri pengeluar produk makanan dan barangan gunaan. Menerusi elemen halal, kerajaan berjaya menggalakkan persaingan perniagaan dan memastikan produk lebih berkualiti serta meyakinkan. Sebenarnya kita tidak boleh memisahkan halal daripada sumber atau puncanya. Hanya pengguna yang bijak menggunakan hak akan memilih perkhidmatan produk halal yang sememangnya terjamin dari aspek keselamatan dan kebersihan seiring moto ‘Halal Malaysia Jaminan Terpilih’.


Sumber: http://www.bharian.com.my

Saturday, March 8, 2014

Kaedah pembungkusan dan pelabelan yang berkualiti

Kaedah pembungkusan dan pelabelan yang berkualiti akan memberi jaminan kepada pengguna tempatan dan antarabangsa untuk menjadi pelanggan setia. Kebanyakan pengusaha IKS di negeri Terengganu masih lagi mengamalkan pembungkusan produk dengan kaedah lama termasuk menggunakan surat khabar dan plastik beg sebagai pelindung kepada makanan yang dihasilkan. Sekiranya pengusaha masih ingin terus menggunakan kaedah pembungkusan seperti itu, ia tidak mengambarkan kualiti kerja yang bagus dan imej sebagai usahawan yang cemerlang.

Mereka sepatutnya meningkatkan kualiti pembungkusan dengan melabelkan nama produk, alamat dan nombor telefon, tarikh luput, kuantiti, kandungan bahan dan sebagainya di atas permukaan pembungkusan itu. Dengan cara itu, mudah bagi pengguna untuk berhubung sekiranya ingin membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak dan memperkenalkan kepada rakan lain. Pendekatan terbaru Kerajaan Negeri untuk membantu pengusaha IKS adalah dengan memperkenalkan produk yang dihasilkan kepada beberapa pasar raya terkenal di negeri ini

Perkembangan itu memberi petanda bahawa golongan itu sudah pandai berusaha untuk membaiki ekonomi keluarga selain bijak menyahut seruan kerajaan yang inginkan masyarakat hari ini menjadi usahawan. Kepada mereka yang menceburi bidang membekal hasil makanan tradisional seperti baulu, buah rotan, kerepek dan keropok sira, ingin saya nyatakan mengenai pentingnya penjagaan kualiti dan kaedah pembungkusan. Sekiranya kaedah pembungkusan menarik dan isinya enak sudah semestinya barangan yang dikeluarkan itu mendapat pujian.


Sumber: Unit Komunikasi Negeri Terengganu

CABARAN PEMAKANAN HALAL, MENDIDIK PENGGUNA BERMAKLUMAT

Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran. Ditambah dengan teknologi moden, maka makanan atau produk semakin kompleks penghasilannya. Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat, halal dan haram, kebersihan dan penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup.

Terdapat kajian menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi sikap dan tingkahlaku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan makanan secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan Islam disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan dan persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat. Kebanyakan pengguna bukan Islam di Malaysia masih melihat produk yang dilabel halal dari perspektif agama. Masyarakat Cina dan India tidak terlalu mengambil berat sama ada produk yang diambil halal atau tidak. Namun, mereka masih menghargai nilai dan kelebihan yang mendasari produk halal termasuk proses kebersihan produk halal sebelum berada di pasaran.

Cabaran dalam bab halal pada hari ini bukanlah kecil tetapi memerlukan kesabaran. Apatah lagi kita menghadapi lambakan produk makanan dan barangan lain di pasaran menyebabkan kita mempunyai banyak alternatif namun perlu diteliti. Hakikatnya, mungkin berpada-pada atau berkadar dengan apa yang halal adalah lebih baik berbanding berkenyang-kenyangan dengan yang haram. Penggunaan bahan tambah makanan adalah cabaran kepada umat Islam kerana proses penghasilan dan sumber bahan penambah itu sendiri mungkin menggunakan ramuan haram yang dimasukkan ke dalam produk makanan halal. Walaupun penggunaannya dibenarkan dalam aras yang ditentukan, yang menjadi persoalannya apakah ia bakal mengundang kemudaratan kepada kesihatan, jika terus digunakan dalam makanan setiap hari? Satu perkara lagi yang menimbulkan dilema ialah jika bahan tambah makanan itu berasal daripada haiwan yang diharamkan, sekali gus menjadikannya haram dimakan oleh umat Islam.

Ketidaktelusan pengeluar dalam pelabelan makanan akan memberi impak buruk kepada pengguna mahupun pengeluar itu sendiri. Isu ini memberi cabaran besar kepada masyarakat pengguna dalam memilih makanan terbaik lebih-lebih lagi jika pelabelan makanan mengelirukan. Kekeliruan yang timbul bukanlah perkara kecil kerana ia bakal memberi kesan kepada pemilihan makanan. Contohnya dalam isu kod E yang menjadi tanda tanya yang masih terbuku di hati masyarakat awam. Sesetengah pengguna yang prihatin dan teliti dengan sesuatu produk akan melihat kandungan makanan tersebut, namun ada juga yang tidak mengambil endah.

Dalam isu ini, satu langkah yang proaktif perlu dimainkan oleh pihak berwajib agar masyarakat tidak dibelit dengan kekeliruan. Contohnya, sampaikan maklumat dalam bentuk yang mudah dan istilah yang difahami oleh segenap lapisan masyarakat berbanding dengan istilah saintifik. Paling tidak masyarakat mengharapkan senarai atau maklumat dihebahkan secara saksama. Dalam isu halal, pihak yang berautoriti perlu mempunyai saluran yang berkesan dalam memberikan informasi kepada pengguna contohnya melalui laman web, radio, televisyen dan juga talian bebas tol.

Dengan segala cabaran dalam dunia yang semakin maju, wajarlah setiap individu mencari ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul. Ilmu dan maklumat bakal menjadi solusi terbaik sekiranya kita menghadapi apa jua permasalahan berkaitan dengannya. Umat Islam perlu berpaksikan kepada fakta dan kebenaran berasaskan syariat Islam dan berwaspada dalam apa jua tindakan yang melibatkan persoalan halal dan haram. Dan cabaran yang perlu dilalui oleh semua individu pada hari ini ialah berhati-hati dalam mencari dan memilih sesuatu makanan dan barang kegunaan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan.

  
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)



TAHUKAH ANDA? APAKAH YANG PATUT DILETAKKAN PADA SETIAP PRODUK.

1.Tarikh luput, tarikh pembuat/pengilang mesti diletakkan pada produk.

2.Logo halal haruslah dipastikan kesahihannya daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri.

3.Tempat asal produk termasuk nama pengilang, pengimport, pengedar, nombor model/stok ataupun penerangan, tanda perniagaan dan Negara asal hendaklahdisertakan.

4.Nutrisi atau keterangan khusus seperti senarai dan nisbah bahan-bahan kandungan, harga seunit, penggunaan tenaga (barangan elektrik) dan khasiat bahankandungan seperti nilai pemakanan yang menunjukkan kandungan utama dan peratusannya.


5.Nama produk atau nama sebutan sebenar produk hendaklah dipaparkan.


Pengajaran Yang Boleh Diperolehi

Pengguna perlu diberi fakta-fakta yang tepat serta maklumat yang cukup bagi membolehkan mereka membuat pembelian secara bijak. Dengan adanya maklumat dan fakta yang lengkap, pengguna akan dilindungi daripada amalan perniagaan yang menyeleweng dan tidak beretika. Maklumat yang diberikan kepada pengguna bergantung kepada perkara-perkara seperti berikut:

A)Benar dan tepat – maklumat hendaklah relevan, benar dan tepat dengan produk.
B)Boleh diterima – maklumat mesti mempunyai kesahihan dan kredibiliti.
C)Boleh difahami – penyampaian maklumat hendaklah mudah difahami dan tidak menyelirukan.
D)Nyata – cara pelabelan dan ukurannya hendaklah berpatutan supaya mudah dibaca.

LABEL

Pelabelan merupakan sebahagian daripada pembungkusan yang mengandungi maklumat bercetak atau bersama produk atau rekabentuk grafik pada permukaan pembungkusan dan apa juga bentuk bahan seperti kertas, kad atau bahan lain yang dilekatkan pada objek atau produk. Ia bertujuan menghuraikan beberapa perkara mengenai produk seperti siapa pengedar, di mana ia dibuat, kandungannya dan bagaimana menggunakannya dengan selamat serta jaminan  sepertimana yang dilakukan oleh Syarikat Lioes di mana label dicetak terus pada bekas atau pembungkusan.

USAHAWAN DIMINTA FAHAMI KEPENTINGAN LABEL DAN PEMBUNGKUSAN MAKANAN


Usahawan makanan di negeri ini diminta supaya memasarkan produk mereka dengan label dan pembungkusan makanan yang lebih baik bagi memberikan impak yang positif terhadap produk yang dihasilkan. Kedua-dua aspek itu perlu difahami dengan baik oleh usahawan terlebih dahulu kerana ia memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya industri mereka.

 “Pembungkusan ditakrifkan sebagai sains, seni dan teknologi untuk melindungi dan memelihara kualiti sesuatu barangan semasa dihantar, disimpan dan dipamerkan. “Manakala label merupakan sumber maklumat yang penting kepada pengguna untuk mengetahui jenis produk, pengusaha, tarikh luput, kandungan nutrisi, status halal sesuatu produk makanan,” Namun menurut Ahmad Bakri usahawan dan pengusaha yang sedia ada kurang menitikberat soal label dan sekadar membungkus produk mereka di dalam plastik tanpa tanpa sebarang label.


Jika perkara ini terus berlaku usahawan tersebut akan sukar untuk memajukan perniagaannya kerana pada masa kini, hampir keseluruhan pasar-pasar besar menjadikan pembungkusan dan pelabelan yang menarik sebagai salah satu syarat kepada usahawan untuk menembusi pasaran yang lebih besar.  “Usahawan ini juga diharap dapat lebih berdaya saing dengan usahawan luar seterusnya produk mereka mampu menambusi pasaran yang lebih luas,”

INFO LABEL

LABEL ITU PENTING

Apa yang dimaksud dengan Label ? Label adalah setiap keterangan mengenai barang yang dapat berupa gambar, tulisan atau kombinasi keduanya atau bentuk lain yang memuat informasi tentang barang dan keterangan pelaku usaha serta informasi lainnya sesuai dengan peraturan perundang-undangan yang berlaku yang disertakan pada produk, dimasukkan kedalam, ditempelkan pada, atau merupakan bagian kemasan .

Kegunaan Label adalah memberikan infomasi yang benar, jelas dan lengkap baik mengenai kuantitas, isi, kualitas mahupun hal-hal lain yang diperlukan mengenai barang yang diperdagangkan .

Pelaku Usaha yang memproduksi atau memperdagangkan dan atau memasukkan barang di atau ke pasar dalam negeri wajib mencantumkan label dalam dan atau luar kemasan. Pencantuman label di kemasan dilakukan sedemikian rupa sehingga tidak mudah lepas atau luntur, letaknya mudah untuk dilihat dan dibaca .

Isi Label :
·                      Nama barang;
·                      Ukuran; 
·                      Berat, isi bersih, netto;
·                      Komposisi;
·                      Aturan pakai;
·                      Tanggal kadaluarsa;
·                      Akibat sampingan;
·                Nama dan alamat pelaku usaha serta keterangan untuk penggunaan yang menurut                  ketentuan  harus dipasang/dibuat;

Apa yang harus tercantum pada Label Makanan ?
·                      Nama makanan/nama produk;
·                      Komposisi/daftar ingredien; 
·                      Berat, isi bersih, netto;
·                      Nama dan Alamat Pabrik/Importir;
·                      Nomor Pendaftaran;
·                      Kode Produksi;
·                      Tanggal Kadaluarsa;
·                      Petunjuk atau Cara Penyimpanan;
·                      Petunjuk atau Cara Pengunaan;