Friday, March 14, 2014

PENGGUNA PERLU LEBIH MAKLUMAT DALAM ISU HALAL

Masyarakat pengguna Islam di Negara ini sering berdepan dengan pendedahan media berhubung keraguan halal sesuatu produk di pasaran. Memandangkan isu halal ialah isu penting khususnya bagi yang beragama Islam, wajar bagi mereka mendapat maklumat yang betul mengenai kehalalan sesuatu produk baik untuk dimakan, diminum atau digunakan. Dalam mendapatkan hak itu, sudah tentunya juga maklumat halal perlu dinyatakan secara jelas pada pembungkusan produk.

Satu daripada peraturan itu ialah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Satu peraturan yang boleh digunapakai ialah Akta Makanan 1983 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, antaranya yang berkaitan makanan mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia dan pelabelan palsu.

Isu halal juga boleh ditangani melalui Perintah (Pengimportan) Haiwan 1962, Kementerian Pertanian dan Asas Tani iaitu peraturan yang menetapkan ternakan yang diimport hendaklah disembelih mengikut cara Islam dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Persatuan pengguna telah lama meminta agar diwujudkan sebuah akta yang khusus berkaitan halal, yang mewajibkan pengeluar dan pengedar mendapatkan pensijilan halal sekiranya mereka ingin memasarkan produk termasuk makanan kepada orang Islam.

Bagi sesetengah pengguna, khususnya yang beragama Islam, mereka mungkin peka dengan keperluan kehalalan untuk produk makanan, minuman atau yang digunakan. Bagaimanapun, atas alasan tersendiri, mereka mungkin bergantung sahaja kepada label halal (yang dieja) atau logo halal tanpa membuat semakan lebih lanjut. Ada juga yang asalkan nama produk mempunyai nama yang boleh diterima, tanpa banyak soalan akan terus membeli produk berkenaan. Bagi yang mungkin merasa was-was dan mahu mendapatkan keyakinan, mereka boleh menghubungi persatuan-persatuan pengguna, Jakim atau JAIN. Jakim umpamanya mempunyai Portal Halal Malaysia www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.

Di bawah Direktori Halal, umpamanya, orang ramai boleh menyemak maklumat sijil halal yang dikeluarkan, sama ada untuk produk gunaan, premis makanan atau pusat sembelih. Direktori itu menyediakan kemudahan carian halal berdasarkan kod bar, deskripsi produk dan nama syarikat yang telah mendapat sijil halal Malaysia. Bagi memenuhi kemudahan orang ramai, senarai badan Islam luar negara yang diperakukan bagi pensijilan halal juga disediakan.

Sumber: BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan / pendapat anda....