Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang
berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran.
Ditambah dengan teknologi moden, maka makanan atau produk semakin kompleks
penghasilannya. Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat,
halal dan haram, kebersihan dan penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi
yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan
beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup.
Terdapat kajian menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi sikap
dan tingkahlaku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan makanan
secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan Islam
disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan dan
persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat. Kebanyakan pengguna
bukan Islam di Malaysia masih melihat produk yang dilabel halal dari perspektif
agama. Masyarakat Cina dan India tidak terlalu mengambil berat sama ada produk
yang diambil halal atau tidak. Namun, mereka masih menghargai nilai dan
kelebihan yang mendasari produk halal termasuk proses kebersihan produk halal
sebelum berada di pasaran.
Cabaran dalam bab halal pada hari ini bukanlah kecil tetapi
memerlukan kesabaran. Apatah lagi kita menghadapi lambakan produk makanan dan
barangan lain di pasaran menyebabkan kita mempunyai banyak alternatif namun
perlu diteliti. Hakikatnya, mungkin berpada-pada atau berkadar dengan apa yang
halal adalah lebih baik berbanding berkenyang-kenyangan dengan yang haram. Penggunaan
bahan tambah makanan adalah cabaran kepada umat Islam kerana proses penghasilan
dan sumber bahan penambah itu sendiri mungkin menggunakan ramuan haram yang
dimasukkan ke dalam produk makanan halal. Walaupun penggunaannya dibenarkan
dalam aras yang ditentukan, yang menjadi persoalannya apakah ia bakal
mengundang kemudaratan kepada kesihatan, jika terus digunakan dalam makanan
setiap hari? Satu perkara lagi yang menimbulkan dilema ialah jika bahan tambah
makanan itu berasal daripada haiwan yang diharamkan, sekali gus menjadikannya
haram dimakan oleh umat Islam.
Ketidaktelusan pengeluar dalam pelabelan makanan akan memberi
impak buruk kepada pengguna mahupun pengeluar itu sendiri. Isu ini memberi
cabaran besar kepada masyarakat pengguna dalam memilih makanan terbaik
lebih-lebih lagi jika pelabelan makanan mengelirukan. Kekeliruan yang timbul
bukanlah perkara kecil kerana ia bakal memberi kesan kepada pemilihan makanan.
Contohnya dalam isu kod E yang menjadi tanda tanya yang masih terbuku di hati
masyarakat awam. Sesetengah pengguna yang prihatin dan teliti dengan sesuatu
produk akan melihat kandungan makanan tersebut, namun ada juga yang tidak
mengambil endah.
Dalam isu ini, satu langkah yang proaktif perlu dimainkan oleh
pihak berwajib agar masyarakat tidak dibelit dengan kekeliruan. Contohnya,
sampaikan maklumat dalam bentuk yang mudah dan istilah yang difahami oleh
segenap lapisan masyarakat berbanding dengan istilah saintifik. Paling tidak
masyarakat mengharapkan senarai atau maklumat dihebahkan secara saksama. Dalam
isu halal, pihak yang berautoriti perlu mempunyai saluran yang berkesan dalam
memberikan informasi kepada pengguna contohnya melalui laman web, radio,
televisyen dan juga talian bebas tol.
Dengan segala cabaran dalam dunia yang semakin maju, wajarlah
setiap individu mencari ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul. Ilmu dan
maklumat bakal menjadi solusi terbaik sekiranya kita menghadapi apa jua
permasalahan berkaitan dengannya. Umat Islam perlu berpaksikan kepada fakta dan
kebenaran berasaskan syariat Islam dan berwaspada dalam apa jua tindakan yang
melibatkan persoalan halal dan haram. Dan cabaran yang perlu dilalui oleh semua
individu pada hari ini ialah berhati-hati dalam mencari dan memilih sesuatu
makanan dan barang kegunaan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas pandangan / pendapat anda....