Friday, March 14, 2014

PELABELAN MAKANAN UBAHSUAI GENETIK: TUNGGU SAMAPI BILA?

Bidang Agribioteknologi atau bioteknologi pertanian merupakan satu bidang yang sangat pesat berkembang dewasa ini. Penyelidikan-penyelidikan dalam bidang ini telah berjaya menghasilkan pelbagai hasil pertanian yang mempunyai ciri-ciri istimewa. Sebagai contoh, tomato FLAVRSVRTM dengan ciri-ciri lambat ranum telah dihasilkan melalui kejuruteraan genetik dan diluluskan untuk dikomersilkan pada tahun 1994. Manakala, kacang soya yang diubahsuai secara genetik pula mempunyai ciri tahan racun rumpai (herbicide resistance). Tanaman ini mula ditanam di Amerika Syarikat pada tahun 1996. Selain tomato dan kacang soya, makanan ubahsuai genetik lain yang sudahpun berada di pasaran adalah jagung dan kentang.

Kehadiran makanan ubahsuai genetik dalam pasaran bukanlah satu perkara baru. Makanan jenis ini telah berada di pasaran bertahun-tahun lamanya. Misalnya tomato FLAVRSVRTM tadi telah 15 tahun berada di pasaran. Bukan itu sahaja, tanaman-tanaman itu telah ditanam secara meluas di seluruh dunia. Sebagai contoh, bagi tanaman kacang soya, ia telah ditanam di sembilan buah negara hanya selepas 10 tahun diperkenalkan. Malah, pada tahun 2007 sahaja, separuh dari tanaman kacang soya di seluruh dunia adalah dari jenis kacang soya yang diubah suai secara genetik.

Berdasarkan kenyataan di atas, kemungkinan kita mengambil makanan ubahsuai genetik dalam kehidupan seharian adalah tidak boleh dinafikan sama sekali. Lebih merisaukan, makanan ubahsuai genetik itu tidak sahaja wujud dalam bentuknya yang asal tetapi juga wujud dalam pelbagai bentuk yang lain. Misalnya, pembekal-pembekal tempatan mengimport kacang soya secara pukal dan dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha air soya, tauhu, tempe dan sebagainya. Akhirnya, kita sebagai pengguna membeli dan makan makanan tersebut.

Dari perbincangan ini, jelas bahawa pelabelan produk bioteknologi pertanian adalah perlu. Ini kerana, pengguna perlu tahu kandungan makanan yang dimakannya. Ini adalah hak pengguna yang paling asas. Berdasarkan maklumat dalam pelabelan, maka pengguna boleh membuat pilihan. Jika pelabelan produk bioteknologi tidak dilaksanakan maka tindakan ini adalah satu usaha untuk menidakkan hak pengguna itu sendiri. Selain kelebihan kepada pengguna, pihak pengusaha atau industri juga akan mendapat faedah tertentu daripada usaha pelabelan ini. Pihak industri yang tidak takut melabelkan produk bioteknologi ini akan dilihat sebagai satu pihak yang berani, bertanggungjawab dan sangat prihatin kepada pelanggannya. Tindakan ini akhirnya akan menaikkan imej mereka juga. Di seluruh dunia, terdapat beberapa negara yang telah melaksanakan usaha melabelkan produk bioteknologi pertanian. Ada negara yang mewajibkan pelabelan produk bioteknologi misalnya negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Korea dan Australia. Namun, terdapat juga negara lain yang meletakkan syarat pelabelan secara sukarela, misalnya negara Kanada dan Amerika Syarikat.

Dalam hal pelabelan ini, pengguna berhak mendapat maklumat tentang makanannya. Dengan label tersebut, biarkan pengguna yang membuat pilihan mereka sendiri. Pengguna negara ini sudah semakin bijak. Pengetahuan mereka terhadap makanan ubahsuai genetik juga semakin baik. Walaupun ada yang kisah, namun ramai juga yang tidak hirau makan makanan ubahsuai genetik. Oleh itu, biarkanlah mereka menentukan sama ada menerima atau tidak makanan tersebut.


Sumber: http://www.ikim.gov.my

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan / pendapat anda....